Wednesday, 22 May 2013

Tanggungjawab dan Amanah Seorang Pelajar



            Jika dilihat kembali tanggungjawab dan amanah kita sebagai khalifah di dunia ini sangat lah luas dan banyak. Salah satu daripadanya adalah tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Akal dan minda yang sihat ini merupakan amanah Allah kepada kita supaya kita dapat menimba ilmu dengan sebaiknya. Kita juga memikul amanah dan pesan ibu bapa agar kita menimba ilmu untuk menjadi insan berguna pada masa hadapan.
            Kehidupan sebagai seorang pelajar tidak lah terlalu sukar, namun tidak juga boleh diambil mudah atau dipandang remeh. Hati yang tulus dan ikhlas merupakan kunci utama untuk menimba ilmu dengan mudah dan tenang. Kita generasi hari ini merupakan warga yang bakal memimpin Negara pada masa akan datang. Oleh itu, pengalaman dan ilmu adalah sangat penting untuk kita.

            Sebagai seorang pelajar, kita seharusnya menanamkan sikap bertanggungjawab semasa menuntut ilmu. Sebagai contoh sentiasa peka dengan persekitaran dan sentiasa amanah dengan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Seorang pelajar yang ingin berjaya tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada rakan-rakan untuk membantu menyiapkan tugasan. Sikap lepas tangan seperti ini tidak seharusnya ada dalam diri pelajar.selain itu, seorang pelajar seharusnya tidak dengan mudah menyalin tugasan daripada rakan-rakan. Pelajar yang tinggi nilainya sentiasa berusaha sendiri untuk melaksanakan segala tugasannya dengan sebaik mungkin.
           
            Selain tugasan, tanggungjawab lain seorang pelajar adalah berkongsi dan menyebarkan ilmu kepada sesiapa sahaja. Hal ini kerana, ilmu yang dikongsi adalah lebih berkesan dan sangat bermanfaat kepada semua orang dan seterusnya memberi impak positif yang besar kepada Negara. Kita sebagai pelajar hari ini yang akan mencorakkan kepimpinan Negara kita pada masa hadapan. Kita juga yang akan menegakkan keadilan Negara pada masa akan datang. Oleh itu, ilmu yang sangat tinggi perlu kita pelajari untuk melakukan perubahan pada Negara.

            Pelajar juga mempunyai tanggungjawab kepada agama. Menyebarkan hukum Allah dilandasan yang betul dan memastikan ilmu Allah dikembangkan kepada semua orang. Mempraktikan ajaran Allah dalam kehidupan harian adalah contoh seorang pelajar yang berjaya. Saya percaya, sekiranya suatu hari nanti kita berjaya, ibu merupakan orang yang paling bahagia saat itu. Jelas lah disini, tergalas dibahu eorang pelajar untuk membangunkan Negara dan bangsa pada masa akan datang. 

Thursday, 28 March 2013

Bahasa Slanga


Bahasa slanga merupakan ragam berbahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa di dunia. Terdapat pelbagai maksud bahasa slanga ini antaranya bahasa slanga merupakan dialek daerah. Juga membawa maksud cara pertuturan yang dipengaruhi oleh bahasa asing. Bahasa slanga ini juga dilihat sebagai bahasa mesra. Bahasa slanga semakin berleluasa di Negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Bahasa slanga juga ialah bahasa yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok berkenaan sahaja yang memahami.
            
Pada hari ini bahasa slanga amat membimbangkan kerana bahasa ini dikatakan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi di Negara kita. Hal ini juga secara tidak langsung dapat menghakis keutuhan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi. Kini, remaja dan bahasa slanga begitu sinonim sekali. Remaja begitu kreatif mencipta bahasa-bahasa slanga baru bagi meluahkan perasaan mereka. Remaja dan bahasa slanga mempunyai hubungan dan perkaitan yang sangat kuat.
            
Antara istilah yang popular dalam kalangan remaja termasuklaha mat rempit, cun, jambu, balak, pakwe, makwe dan skema. Bagi remaja, teman mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan mereka. Selain remaja, artis juga banyak menyuburkan penggunaan bahasa slanga. Perkembangan bahasa slanga dalam kalangan artis dilihat sebagai satu usaha untuk menunjukkan identiti kumpulan mereka atau aliran muzik yang dibawa oleh mereka. Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa bahasa slanga turut digunakan oleh penjenayah atau kumpulan yang menjalankan kegiatan negatif agar kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak lain.
            
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terciptanya bahasa slanga. Antara faktornya termasuklah untuk menunjukkan identiti kumpulan. Remaja berasa seolah-olah istilah yang ada sekarang ini masih belum mampu untuk menerangkan emosi yang dihadapi oleh mereka lalu mereka mencipta istilah lain. Selain itu, pengaruh rakan sebaya, media hiburan dan medium globalisasi juga merupakan faktor yang mempercepatkan penggunaan bahasa slanga dalam kalangan remaja. Sebelum hal ini menjadi lebih parah, kita harus memastikan situasi ini tidak mengganggu gugat usaha untuk memartabatkan bahasa melayu. Semua pihak harus memainkan peranan penting agar bahasa slanga tidak digunakan dalam situasi formal terutamanya dalam sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah. 

Wednesday, 20 March 2013

Bermulanya Langkah Di Universiti Utara Malaysia


Pada tanggal 26 september 1991, lahir lah aku seorang gadis di negeri Selangor Darul Ehsan. Nama diberi Masliza Bt Banin. Aku merupakan puteri ketiga daripada empat orang puteri hasil perkongsian hidup ayah dan ibu. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Aku diberi didikan agama dan pelajaran yang secukupnya daripada ayah dan ibu. Aku membesar dengan penuh kasih sayang. Aku diberi pendidikan awal di sekolah tadika, seterusnya sekolah rendah dan meningkat ke sekolah menengah. Sejak kecil sudah tertanam cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan dalam masa yang sama mempunyai perniagaan sendiri persis Siti Khadijah.

Berkat usaha dan juga doa seorang ibu, penat lelah di zaman persekolahan membuahkan hasil apabila aku ditawarkan untuk memasuki matrikulasi. Aku ditawarkan untuk mengikuti program perakaunan di Kolej Matrikulasi Perak. Walau jauh di sudut hati, terselit sedikit gusar dan sedih untuk berjauhan dengan keluarga seawal usia 18 tahun. Namun, demi cita-cita dan niat untuk berjasa pada ayah dan ibu, aku gagahi langkah memasuki alam matrikulasi. Aku tahu, ini merupakan jalan untuk aku mencapai cita-cita. Aku juga yakin, apa yang aku inginkan kian jelas.

Memasuki alam matrikulasi merupakan sedikit kejutan buat aku. Kehidupan sebagai pelajar matrikulasi ternyata berbeza dan jauh lebih berdikari berbanding di zaman persekolahan. Segalanya baru bagiku, persekitaran, gaya hidup, cara pembelajaran dan bermacam – macam lagi yang perlu aku pelajari. Hari demi hari, aku kian selesa dengan kehidupan sebagai seorang pelajar matrikulasi. Walau kadang-kadang agak sibuk dengan tugasan yang terlalu banyak.  Namun aku akur, ini merupkan latihan sebelum aku benar-benar memasuki alam universiti yang mana jauh lebih mencabar. Detik demi detik, setahun di matrikulasi berjaya aku lalui dengan berbagai ilmu dan kenangan.

Pada julai 2010, aku melangkah masuk ke menara gading Universiti Utara Malaysia. Aku ditawarkan program pemasaran selama empat tahun. Sedikit bimbang hadir ketika mendapat tawaran untuk belajar jauh di pelusuk utara. Berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, aku kuat melangkah masuk ke Universiti Utara Malaysia dengan satu azam untuk menggenggam segulung ijazah sarjana muda. Masih segar diingatan saat mendaftarkan diri di Dewan Penginapan Pelajar Sime Darby, UUM. Masih segar diingatan, perasaan sedih ketika itu untuk berjauhan dengan keluarga. Namun perasaan itu dibiarkan demi mencapai cita-cita. Selama satu minggu mengikuti orentasi, pelbagai info dan input yang diperolehi. Alhamdulillah, minggu orentasi berjalan dengan lancar dan seronok. Kemudian, tiba hari pertama menghadiri kuliah. Sedikit gementar dihati. Berlaku sedikit kekalutan ketika mencari dewan kuliah. Namun, alah bias tegal biasa. Setelah beberapa minggu, semuanya berjalan lancar dan aku semakin biasa dengan kehidupan sebagai seorang pelajar universiti.

Kini aku telah berada di semester enam. Kurang setahun lagi, Universiti Utara Malaysia akan aku tinggalkan. Begitu banyak pengalaman dan kenangan yang terukir di sini. Perkenalan dengan teman – teman baru banyak memberi aku pengajaran dalam hidup. Kini azam aku semakin kuat untuk menggenggam segulung ijazah dan memakai jubah di hari Konvokesyen. Kini doa aku hanya satu, supaya Allah permudahkan segala urusan aku untuk menggenggam segulung ijazah dan menaiki pentas konvokesyen, kerana ijazah ini adalah hadiah buat ibu. 

Tuesday, 19 March 2013

Baba dan Nyonya Di Malaysia


Budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok orang dan diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuk sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni. Budaya juga adalah satu pola hidup menyeluruh. Budaya bersifat kompleks, abstrak dan luas. Banyak aspek budaya turut menentukan perilaku komunikatif. Unsur-unsur sosio budaya ini tersebar dan meliputi banyak kegiatan sosial manusia. Kebudayaan sangat erat hubungannya dengan masyarakat.

Masyarakat peranakan Baba dan Nyonya juga dikenali sebagai kaum Peranakan dan mereka merupakan kaum minoriti yang tinggal di negeri Melaka. Menurut sejarah, masyarakat ini telah wujud sejak lebih 600 tahun dahulu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan pada waktu itu Berjaya menarik ramai pedagang dari luar termasuk dari China untuk berdagang di Melaka. Pedagang-pedagang dari China ini berkahwin dengan wanita tempatan dan melahirkan anak berdarah kacukan Melayu-Cina atau lebih dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Baba dan Nyonya merupakan masyarakat unik kerana memiliki dua budaya warisan tradisi Cina dan pada masa yang sama mengamalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat melayu. Ayuh kita telusuri satu persatu apa yang menarik tentang masyarakat Baba dan Nyonya ini.

Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan ‘Nyonya’ yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya, ‘ayam kapitan’ sejenis kari ayam kering. Dan juga ‘inci kabin’ iaitu ayam goring cara Nyonya. Selain itu, pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina. Kepakaran masakan komuniti Nyonya merupakan satu lagenda. Dengan herba dan rempah, makanan itu sangat sempurna di campur pula dengan nasi putih yang dimasak secara kukus sementara pencuci mulut dan kuih adalah petanda kepada kelembutan dan peribadi yang berwarna warni. Cara masakan Baba dan Nyonya dipengaruhi resepi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.

Generasi perempuan Nyonya hingga kini masih memakai kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu. Dikenali sebagai ‘kebaya Nyonya’. Tetapi kehidupan dan pemikiran kaum Baba dan Nyonya masih mengekalkan unsur-unsur Cina biarpun telah lama terpisah daripada nenek moyang mereka di China. Kaum Nyonya memakai sarung kebaya dengan “brooch” berbagai bentuk dan barang kemas yang diperbuat daripada perak atau emas.

Pada dasarnya, bahasa Baba ialah satu bahasa campuran antara bahasa China Hokkien dengan bahasa Melayu. Bahasa Baba telah menyerap banyak perkataan Cina. Umpamanya ‘lai’ untuk ‘datang’ dan lain-lain. Mereka lebih banyak menggunakan peribahasa Cina dengan lebih meluas, berbanding peribahasa Melayu. Contoh bahasa Baba dan Nyonya, Kata Ganti Nama ; (Saya = goa, Kamu = lu, Dia = i, Kita = wa lang). Bagaimanapun, dari segi anutan, kebanyakan masyarakat ini masih mengamalkan agama anutan nenek moyang mereka iaitu agama Buddha dan terdapat juga yang telah menukar agama ke Agama Islam dan juga Kristian.

Adat-adat yang serupa dengan masyarakat Melayu boleh didapati di dalam perkahwinan Baba dan Nyonya iaitu dari aspek tepak sireh yang melambangkan kesucian wanita yang akan berkahwin itu. Adat lain termasuk ‘mas kahwin’ diserahkan kepada ibu bapa gadis itu kerana kesucian gadis itu. Upacara lain ialah pertukaran cincin dan hadiah, penggunaan bunga rampai dan pembakaran setanggi. Muzik dimainkan oleh kumpulan ronggeng, boria dan pancaragam serunai Cina. Upacara berlangsung selama 12 hari bagi orang-orang kaya manakala golongan biasa ialah pada hari pertama dan hari kedua belas sahaja.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat untuk lebih menghargai amalan dan budaya sosial yang diamalkan oleh masyarakat Baba dan Nyonya yang semakin disisihkan oleh generasi baru kaum itu. Mereka sayang untuk meninggalkan budaya yang unik itu begitu sahaja. Mereka sanggup mempertahankan budaya masyarakat Baba dan Nyonya. Percampuran budaya dan adat antara masyarakat Cina dan Melayu telah membuktikan akan keakraban dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat tersebut, malah masih mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.