Tuesday, 19 March 2013

Baba dan Nyonya Di Malaysia


Budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok orang dan diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuk sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni. Budaya juga adalah satu pola hidup menyeluruh. Budaya bersifat kompleks, abstrak dan luas. Banyak aspek budaya turut menentukan perilaku komunikatif. Unsur-unsur sosio budaya ini tersebar dan meliputi banyak kegiatan sosial manusia. Kebudayaan sangat erat hubungannya dengan masyarakat.

Masyarakat peranakan Baba dan Nyonya juga dikenali sebagai kaum Peranakan dan mereka merupakan kaum minoriti yang tinggal di negeri Melaka. Menurut sejarah, masyarakat ini telah wujud sejak lebih 600 tahun dahulu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan pada waktu itu Berjaya menarik ramai pedagang dari luar termasuk dari China untuk berdagang di Melaka. Pedagang-pedagang dari China ini berkahwin dengan wanita tempatan dan melahirkan anak berdarah kacukan Melayu-Cina atau lebih dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Baba dan Nyonya merupakan masyarakat unik kerana memiliki dua budaya warisan tradisi Cina dan pada masa yang sama mengamalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat melayu. Ayuh kita telusuri satu persatu apa yang menarik tentang masyarakat Baba dan Nyonya ini.

Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan ‘Nyonya’ yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya, ‘ayam kapitan’ sejenis kari ayam kering. Dan juga ‘inci kabin’ iaitu ayam goring cara Nyonya. Selain itu, pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina. Kepakaran masakan komuniti Nyonya merupakan satu lagenda. Dengan herba dan rempah, makanan itu sangat sempurna di campur pula dengan nasi putih yang dimasak secara kukus sementara pencuci mulut dan kuih adalah petanda kepada kelembutan dan peribadi yang berwarna warni. Cara masakan Baba dan Nyonya dipengaruhi resepi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.

Generasi perempuan Nyonya hingga kini masih memakai kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu. Dikenali sebagai ‘kebaya Nyonya’. Tetapi kehidupan dan pemikiran kaum Baba dan Nyonya masih mengekalkan unsur-unsur Cina biarpun telah lama terpisah daripada nenek moyang mereka di China. Kaum Nyonya memakai sarung kebaya dengan “brooch” berbagai bentuk dan barang kemas yang diperbuat daripada perak atau emas.

Pada dasarnya, bahasa Baba ialah satu bahasa campuran antara bahasa China Hokkien dengan bahasa Melayu. Bahasa Baba telah menyerap banyak perkataan Cina. Umpamanya ‘lai’ untuk ‘datang’ dan lain-lain. Mereka lebih banyak menggunakan peribahasa Cina dengan lebih meluas, berbanding peribahasa Melayu. Contoh bahasa Baba dan Nyonya, Kata Ganti Nama ; (Saya = goa, Kamu = lu, Dia = i, Kita = wa lang). Bagaimanapun, dari segi anutan, kebanyakan masyarakat ini masih mengamalkan agama anutan nenek moyang mereka iaitu agama Buddha dan terdapat juga yang telah menukar agama ke Agama Islam dan juga Kristian.

Adat-adat yang serupa dengan masyarakat Melayu boleh didapati di dalam perkahwinan Baba dan Nyonya iaitu dari aspek tepak sireh yang melambangkan kesucian wanita yang akan berkahwin itu. Adat lain termasuk ‘mas kahwin’ diserahkan kepada ibu bapa gadis itu kerana kesucian gadis itu. Upacara lain ialah pertukaran cincin dan hadiah, penggunaan bunga rampai dan pembakaran setanggi. Muzik dimainkan oleh kumpulan ronggeng, boria dan pancaragam serunai Cina. Upacara berlangsung selama 12 hari bagi orang-orang kaya manakala golongan biasa ialah pada hari pertama dan hari kedua belas sahaja.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat untuk lebih menghargai amalan dan budaya sosial yang diamalkan oleh masyarakat Baba dan Nyonya yang semakin disisihkan oleh generasi baru kaum itu. Mereka sayang untuk meninggalkan budaya yang unik itu begitu sahaja. Mereka sanggup mempertahankan budaya masyarakat Baba dan Nyonya. Percampuran budaya dan adat antara masyarakat Cina dan Melayu telah membuktikan akan keakraban dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat tersebut, malah masih mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment