Bahasa
slanga merupakan ragam berbahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa di dunia. Terdapat
pelbagai maksud bahasa slanga ini antaranya bahasa slanga merupakan dialek
daerah. Juga membawa maksud cara pertuturan yang dipengaruhi oleh bahasa asing.
Bahasa slanga ini juga dilihat sebagai bahasa mesra. Bahasa slanga semakin
berleluasa di Negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Bahasa slanga juga
ialah bahasa yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok
berkenaan sahaja yang memahami.
Pada hari ini bahasa slanga amat membimbangkan kerana bahasa ini dikatakan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi di Negara kita. Hal ini juga secara tidak langsung dapat menghakis keutuhan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi. Kini, remaja dan bahasa slanga begitu sinonim sekali. Remaja begitu kreatif mencipta bahasa-bahasa slanga baru bagi meluahkan perasaan mereka. Remaja dan bahasa slanga mempunyai hubungan dan perkaitan yang sangat kuat.
Antara istilah yang popular dalam kalangan remaja termasuklaha mat rempit, cun, jambu, balak, pakwe, makwe dan skema. Bagi remaja, teman mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan mereka. Selain remaja, artis juga banyak menyuburkan penggunaan bahasa slanga. Perkembangan bahasa slanga dalam kalangan artis dilihat sebagai satu usaha untuk menunjukkan identiti kumpulan mereka atau aliran muzik yang dibawa oleh mereka. Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa bahasa slanga turut digunakan oleh penjenayah atau kumpulan yang menjalankan kegiatan negatif agar kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak lain.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terciptanya bahasa slanga. Antara faktornya termasuklah untuk menunjukkan identiti kumpulan. Remaja berasa seolah-olah istilah yang ada sekarang ini masih belum mampu untuk menerangkan emosi yang dihadapi oleh mereka lalu mereka mencipta istilah lain. Selain itu, pengaruh rakan sebaya, media hiburan dan medium globalisasi juga merupakan faktor yang mempercepatkan penggunaan bahasa slanga dalam kalangan remaja. Sebelum hal ini menjadi lebih parah, kita harus memastikan situasi ini tidak mengganggu gugat usaha untuk memartabatkan bahasa melayu. Semua pihak harus memainkan peranan penting agar bahasa slanga tidak digunakan dalam situasi formal terutamanya dalam sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
No comments:
Post a Comment