Wednesday, 20 March 2013

Bermulanya Langkah Di Universiti Utara Malaysia


Pada tanggal 26 september 1991, lahir lah aku seorang gadis di negeri Selangor Darul Ehsan. Nama diberi Masliza Bt Banin. Aku merupakan puteri ketiga daripada empat orang puteri hasil perkongsian hidup ayah dan ibu. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Aku diberi didikan agama dan pelajaran yang secukupnya daripada ayah dan ibu. Aku membesar dengan penuh kasih sayang. Aku diberi pendidikan awal di sekolah tadika, seterusnya sekolah rendah dan meningkat ke sekolah menengah. Sejak kecil sudah tertanam cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan dalam masa yang sama mempunyai perniagaan sendiri persis Siti Khadijah.

Berkat usaha dan juga doa seorang ibu, penat lelah di zaman persekolahan membuahkan hasil apabila aku ditawarkan untuk memasuki matrikulasi. Aku ditawarkan untuk mengikuti program perakaunan di Kolej Matrikulasi Perak. Walau jauh di sudut hati, terselit sedikit gusar dan sedih untuk berjauhan dengan keluarga seawal usia 18 tahun. Namun, demi cita-cita dan niat untuk berjasa pada ayah dan ibu, aku gagahi langkah memasuki alam matrikulasi. Aku tahu, ini merupakan jalan untuk aku mencapai cita-cita. Aku juga yakin, apa yang aku inginkan kian jelas.

Memasuki alam matrikulasi merupakan sedikit kejutan buat aku. Kehidupan sebagai pelajar matrikulasi ternyata berbeza dan jauh lebih berdikari berbanding di zaman persekolahan. Segalanya baru bagiku, persekitaran, gaya hidup, cara pembelajaran dan bermacam – macam lagi yang perlu aku pelajari. Hari demi hari, aku kian selesa dengan kehidupan sebagai seorang pelajar matrikulasi. Walau kadang-kadang agak sibuk dengan tugasan yang terlalu banyak.  Namun aku akur, ini merupkan latihan sebelum aku benar-benar memasuki alam universiti yang mana jauh lebih mencabar. Detik demi detik, setahun di matrikulasi berjaya aku lalui dengan berbagai ilmu dan kenangan.

Pada julai 2010, aku melangkah masuk ke menara gading Universiti Utara Malaysia. Aku ditawarkan program pemasaran selama empat tahun. Sedikit bimbang hadir ketika mendapat tawaran untuk belajar jauh di pelusuk utara. Berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, aku kuat melangkah masuk ke Universiti Utara Malaysia dengan satu azam untuk menggenggam segulung ijazah sarjana muda. Masih segar diingatan saat mendaftarkan diri di Dewan Penginapan Pelajar Sime Darby, UUM. Masih segar diingatan, perasaan sedih ketika itu untuk berjauhan dengan keluarga. Namun perasaan itu dibiarkan demi mencapai cita-cita. Selama satu minggu mengikuti orentasi, pelbagai info dan input yang diperolehi. Alhamdulillah, minggu orentasi berjalan dengan lancar dan seronok. Kemudian, tiba hari pertama menghadiri kuliah. Sedikit gementar dihati. Berlaku sedikit kekalutan ketika mencari dewan kuliah. Namun, alah bias tegal biasa. Setelah beberapa minggu, semuanya berjalan lancar dan aku semakin biasa dengan kehidupan sebagai seorang pelajar universiti.

Kini aku telah berada di semester enam. Kurang setahun lagi, Universiti Utara Malaysia akan aku tinggalkan. Begitu banyak pengalaman dan kenangan yang terukir di sini. Perkenalan dengan teman – teman baru banyak memberi aku pengajaran dalam hidup. Kini azam aku semakin kuat untuk menggenggam segulung ijazah dan memakai jubah di hari Konvokesyen. Kini doa aku hanya satu, supaya Allah permudahkan segala urusan aku untuk menggenggam segulung ijazah dan menaiki pentas konvokesyen, kerana ijazah ini adalah hadiah buat ibu. 

No comments:

Post a Comment